SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan LS20 | Selangor FC 2-0 Sri Pahang FC | Momentum Kemenangan Diteruskan!

Feb 09, 2025 - FAS

Selangor FC meraih tiga mata penuh dalam perlawanan Liga Super 2024/25 menentang Sri Pahang FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam dengan keputusan 2-0.

Perlawanan bermula dengan dua percubaan pertama oleh kapten pasukan Sri Pahang FC, Kpah Sherman, namun berjaya diselamatkan oleh penjaga gawang Gergasi Merah, Kalamullah Al-Hafiz. Kemudian, Ali Olwan membawa bola melepasi halangan beberapa pemain Tok Gajah selepas menerima hantaran baik daripada Nikola Jambor dan terus merembat masuk gol pada minit ke-14 perlawanan #SFCSRP. Pertemuan di antara Kpah Sherman dan Kalamullah Al-Hafiz hampir kerap berlaku namun tiada sebarang gol terhasil. Gol kedua skuad Merah Kuning terhasil selepas Quentin Cheng membuat hantaran pendek kepada Ronnie Fernandez, kemudian Ronnie mengacah pemain lawan dan terus mengambil peluang meledak masuk bola ke gawang Sri Pahang FC menewaskan Irfan Zakaria pada minit ke-39. Seterusnya, pada minit ke-55 perlawanan, Ali Olwan hampir menjaringkan gol keduanya tetapi VAR mengesahkan gol tersebut tidak diterima. Perlawanan #SFCSRP berakhir pada minit ke 90+4 tanpa sebarang jaringan tambahan di separuh masa kedua.

Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi, beliau berharap pasukan tidak mudah berpuas hati dengan kemenangan ini dan mahu mereka untuk terus bekerja keras.

“Kemenangan 2-0 semestinya satu keputusan yang baik. Namun, melihat perlawanan, pasukan berjaya menjaringkan dua gol dalam separuh masa pertama tetapi tidak di separuh masa kedua, jadi kita perlu terus progres untuk terus kekal di kedudukan terbaik dalam saingan Liga Super begitu juga semasa perlawanan Akhir MFL Challenge Cup nanti. Kredit saya berikan kepada setiap pemain atas kemenangan ini. Saya berharap mereka tidak berpuas hati dan akan terus bekerja keras untuk mencapai lebih banyak kejayaan,” tergas Kinoshi.

Daripada perlawanan #SFCSRP dalam saingan Liga Super 2024/25 semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-

Gol ke-15 penyerang Gergasi Merah

Ronnie Fernandez telah menunjukkan aksi yang baik dalam perlawanan semalam serta berjaya menambah jumlah jaringan golnya bersapa skuad Merah Kuning. Setakat ini, Ronnie telah menjaringkan 15 gol; 10 Liga Super, 3 di MFL Challenge Cup, 1 di ACLTWO dan 1 di FA Cup. Dalam sidang media selepas tamat perlawanan, Katsuhito Kinoshi menyatakan bahawa beliau gembira Ronnie Fernandez dapat menjaringkan gol kemenangan dalam perlawanan semalam, namun mahu beliau untuk terus bekerja keras untuk dapat lebih kejayaan selepas ini.

Aksi pertahanan yang perlu diberi kredit

Kemenangan tanpa bolos semalam jelas menunjukkan para pemain telah bertahan dengan cukup baik termasuklah penjaga gawang Gergasi Merah, Kalamullah Al-Hafiz, yang berjaya menyelematkan tiang gol daripada bolos biarpun percubaan pihak lawan terutama sekali Kpah Sherman memberi ancaman yang tinggi dalam perlawanan semalam. Begitu juga, pemain pertahanan; Safuwan Baharudin, Nikola Jambor, Quentin Cheng, Harith Haiqal, Fazly Mazlan dan Zikri Khalili yang berjaya mempertahankan serangan-serangan di ‘Final 3rd’ dengan cukup cemerlang.

MOTM Ali Olwan

Penyerang Jordan, Ali Olwan, berjaya menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-14 dalam perlawanan #SFCSRP semalam. Biarpun hampir mencatat satu lagi gol tetapi tidak kesampaian namun persembahan yang beliau tunjukkan amat memberansangkan. Atas kerjaya keras serta jaringan gol beliau, Ali Olwan telah dinobatkan sebagai MOTM saingan Liga Super ke-20  #SFCSRP.

Setakat ini, Selangor FC kekal di tangga kedua saingan Liga Super 2024/25 dengan 42 mata, 10 mata di hadapan pasukan tempat ketiga. Berbakikan lima aksi sebelum tamat liga, setakat ini, Selangor berjaya meraih 13 menang, 3 seri dan 3 kalah daripada 19 perlawanan yang telah berlangsung.

Seterusnya, skuad Gergasi Merah akan menghadapi perlawanan Akhir MFL Challenge Cup 2024/25 yang dijalankan secara timbal balik. Pusingan pertama akan dimainkan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 15 Februari manakala pusingan kedua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 22 Februari.

Pihak pengurusan Selangor FC ingin menzahirkan ucapan ribuan terima kasih kepada para penyokong yang sama-sama hadir serta menjayakan ‘First Pride Stadium Takeover’ semalam. Kerjasama anda amat kami hargai.

Demi Kebanggaan!